suara rakyat suara keramat

suara rakyat suara keramat
Kerajaan sepatutnya takut kepada rakyat. Bukan rakyat yang takut kepada kerajaan

Sunday, March 29, 2015

Lagi 2 hari

Ketakutan rakyat Malaysia terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah nyata apabila kebanyakan pusat membeli-belah, hypermarket dan pasar-pasar dipenuhi orang ramai semenjak minggu lepas.

Jalan raya menghala ke pusat membeli-belah, hypermarket dan pasar menjadi sesak sehingga polis trafik terpaksa menutup jalan seperti apa yang berlaku di pusat membeli-belah Mid Valley di Kuala Lumpur.

Kebanyakannya mahu membeli-belah sebelum GST dilaksanakan dan ramai juga yang terpengaruh dengan jualan murah sebelum cukai baharu itu bermula Rabu hadapan.


Tambahan pula dengan sikap rakyat Malaysia yang suka melakukan sesuatu pada saat akhir, dengan mudah peniaga dapat mengaut keuntungan hasil daripada ketakutan terhadap GST.

Ketakutan terhadap GST melanda rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama sehingga restoran turut dipenuhi orang ramai menyebabkan kebanyakan peniaga tersenyum menerima kehadiran luar biasa ini.

Jika tidak percaya dengan apa yang penulis katakan ini, pergilah ke pusat membeli-belah, hypermarket, pasar atau restoran hari ini, anda mungkin akan menyesal kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan luar biasa seperti di musim perayaan.

Ketakutan ini bertambah apabila perkhidmatan seperti mesin ATM dan televisyen berbayar memberikan amaran seperti: “Harap maklum, bermula 1 April 2015, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014 akan dilaksanakan .“Berkuatkuasa dari 1 April 2015, semua fi dan caj bagi produk dan perkhidmatan adalah tertakluk kepada 6% GST kecuali sekiranya berkadar sifar atau dikecualikan GST oleh kerajaan.”

Seorang teman peniaga menghubungi penulis semalam marah-marah dengan GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April.

Ditambah dengan kejatuhan nilai ringgit, harga produk yang diimportnya dari sebuah negara Asia menjadi semakin mahal.
Katanya jika kenaikan harga dilakukannya, pengguna akan marah dan langsung tidak mahu membeli.

Jika ini berlaku, peniaga terpaksa memberi diskaun menarik pembeli dan sekurang-kurang dapatlah kembali modal yang dikeluarkan dan membayar gaji pekerja.Katanya, tidak akan ada keuntungan kepadanya dan apabila keadaan ini berterusan, mungkin dia terpaksa menutup perniagaan kerana tiada siapa yang mahu berniaga tanpa keuntungan.Teman penulis ini juga berkata dia tidak menyalahkan pembeli yang tidak mahu berbelanja lebih kerana realitinya, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia tidak selari dengan kenaikan gaji.

Penulis meramalkan sebulan dua selepas pelaksanaan GST, rakyat Malaysia akan berhati-hati berbelanja dan urusan jual beli akan menjadi perlahan.Pusat membeli-belah akan menjadi sedikit lengang dan kalau ramai pun terdiri daripada golongan yang melakukan “window shopping” terlebih dahulu melihat keadaan harga barangan selepas GST.Restoran akan turut menjadi lengang kerana orang ramai ingin melihat terlebih dahulu kesan GST terhadap harga makanan, minuman dan perkhidmatan yang diberikan.

Selepas GST, Putrajaya tidak lagi mempunyai alasan sekiranya keadaan ekonomi masih lagi tidak baik.Tambahan pula kerajaan kini tidak lagi menanggung subsidi bahan bakar yang seringkali menjadi rungutan dan bebelan menteri sebelum ini.Dan apabila Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan, diharapkan agar hasil daripada GST yang diterima tidak dibazirkan dengan sewenang-wenangnya seperti dilakukan setiap tahun.

Janganlah ketika rakyat dibebankan dengan GST, kerajaan membazir dengan membeli banyak jet peribadi, melabur dalam perniagaan yang rugi dan terus menerus berbelanja dengan sesuka hati.

Pastikan peluang pekerjaan semakin banyak, kualiti pendidikan semakin baik dan pengangkutan awam cemerlang kerana menjelang Rabu, Malaysia sudah menjadi negara maju kerana sudah melaksanakan GST.

Bukankah sebelum ini Putrajaya berhujah, Malaysia tidak akan dapat menjadi negara maju jika tidak laksanakan GST?- Amin Iskandar

dollah yankee -
Government Say Thanks sebab berjaya Gigit Sampai Tulang dan berjaya Gasak Sampai Terburai dan bila dah jadi negara maju, 1 bungkus nasi lemak dengan teh tarik berharga RM7.00 dan rakyat yang susah akan terus bekerja sampai umur 80 tahun dan sampai mamposs!

No comments:

Post a Comment