suara rakyat suara keramat

suara rakyat suara keramat
Kerajaan sepatutnya takut kepada rakyat. Bukan rakyat yang takut kepada kerajaan

Sunday, December 29, 2013

Semua naik.Yang ini saja yang akan TURUN!



Tersentak saya, bingung memikirkan apakah dia kata-kata yang sesuai diungkapkan apabila pengumuman-pengumuman yang menodai hak saya diumumkan dengan nada dan rasional luar biasa, seolah-olah kami semua di depan televisyen ini haiwan dalam hutan yang tidak punya akal, seolah-olah kami tidak lazim dengan tamadun. Mengiringi hukuman demi hukuman ini juga ialah irama lagu yang amat unik sekali. Unik dari sudut perasaan yang terzahir bila mendengarnya. 

Sungguh, ingin sekali saya berlapang dada untuk menerima kaedah ini. Malangnya, hakikat dalam hati merasakan bahawa ini tidak lain tidak bukan merupakan suatu penghinaan, ini bagaikan menuang minyak ke atas api.

Barangkali inilah dia secebis perasaan orang yang tinggal di zaman feudal; alangkah malangnya nasib apabila dicukai (mungkin lebih tepat lagi ditol?) kerana menggunakan sesuatu yang sepatutnya merupakan hak kami sendiri. 

Malang sekali golongan pekerja yang saban hari memerah keringat, hanya untuk melihat haknya yang merupakan kurnia Tuhan dirampas di depan mata. Dan penyangak-penyangak ini, perompak siang hari, tanpa malu malah penuh megah memperagakan harta-harta milik orang lain, menaiki kenderaan-kenderaan mewah mereka sambil bersiar-siar di pasar-pasar, kononnya mereka ambil peduli. 

Dan bila mereka merasakan tubuh dan pendapatan mereka terancam, tanpa ragu-ragu, tanpa berpada-pada habis segala otot-otot dari surat khabar ke televisyen, dari FRU ke “ulama’ muda”, semuanya dikerahkan untuk menghalalkan tindakan mereka; begitulah ragamnya, hari-hari yang dilalui rakyat Malaysia.

Saya yang merupakan pelajar universiti, mungkin masih lagi bernasib baik kerana tidak merasakan bahang penuh kerakusan kerajaan Malaysia. Mungkin. Barangkali kami masih lagi terpelihara kerana usia kami, yang datang bersamanya kesihatan dan bantuan dari keluarga. Kerana komitmen kami, yang hanya perlu berulang-alik dari bilik ke kelas. 

Mereka yang paling terkesan barangkali golongan pekerja bawahan, tambah-tambah yang sudah berkeluarga. Tidak kiralah ada BR1M atau tidak. 

Meskipun begitu, hari-hari kami mahasiswa makin sukar terutamanya yang tidak punya biasiswa. Hari ini, pelajaran merupakan pelaburan yang amat mahal, walaupun hanya untuk sekalung ijazah. Dan saya tidak begitu optimis dengan nasib ini usai bergraduasi. Kami yang saban hari ditakutkan perihal pengangguran dan tekanan kewangan. 

Adakah masih ada esok untuk kami, yang dulu hingga sekarang dijanjikan cuaca cerah, dikatakan kami rakyat bertuah, rakyat sebuah Negara yang dikatakan makin hari makin gah?

Andainya omongan itu benar, mengapa perlu ditarik subsidi, mengapa perlu dinaikkan tol, mengapa perlu dicukai lagi? Apabila tindakan bertentangan dengan omongan yang digula-gulakan pada kami, saya terpaksa mengandaikan bahawa ini perbuatan yang tidak waras.

Dilema ini yang suatu hari mungkin bertukar menjadi sengsara terus-menerus memenuhi fikiran saya. Saya, seorang, tidak akan sekali-kali mampu menggerakkan sesuatu yang boleh menjana perubahan. 

Setinggi mana pun idealisme saya, saya hanya budak hingusan yang baru keluar dari zaman remajanya. Perasaan lemah longlai yang mengiringi tekanan-tekanan fizikal ini membuatkan saya rasa punah, hilang dan kalah. Mahu saja saya mencari motivasi namun malang sungguh malang, ia memakan diri. 

Saya yang lemah dan tidak mampu ini, saya yang hilang dan kalah ini, ingin sekali berbuat sesuatu, sekecil manapun agar bisa saya sampaikan pada yang sudi, ataupun pada yang tidak sudi, sebuah mesej; bahawa sesuatu harus dibuat, sebelum masalah ini bertukar menjadi tragedi. 

Mari kita bersama-sama; pinjamkan komitmen dan ayuh kita satukan keinginan. Keinginan melihat Malaysia bebas dari sengsara. Kita bersama untuk menzahirkan suara, demi menjaga hak-hak kita, moga-moga ada yang tergerak, ada yang terasa, dan meskipun kita gagal, sekurang-kurangnya kita sudahpun melakukan apa yang kita bisa. Adat hidup apabila bertemu cabaran, selagi tubuh masih mampu mari kita bangkit dan lawan.
“31.12.13 – TURUN"-
SYAHMI SYAZERIL AZMI (UIAM)

dollah yankee -
ada juga benda yang tiap-tiap pagi mesti naik...lepas tu turun...kahkahkah

1 comment:

  1. Teruskan usaha kamu Syahmi.....rakyat marhaen ini akan terus menyokong utk melawan pemimpin dan kerajaan yg menindas ini. Percaya lah setiap pemimpin dan kerajaan yg zalim hanya masa yg akan menentukan rebahnya mereka berkat doa yg dizalimi.

    ReplyDelete