suara rakyat suara keramat

suara rakyat suara keramat
Kerajaan sepatutnya takut kepada rakyat. Bukan rakyat yang takut kepada kerajaan

Tuesday, May 21, 2013

Kepala bapak hang laa ..!!!


ADA satu adegan dalam filem Do Re Mi yang dilakonkan P. Ramlee dan AR Tompel. Latarnya di pejabat buruh, keduanya sedang bertekak dengan hujah ‘kepala bapak’. Sekonyong-konyong datang seorang kutu yang meletakkan dua cebis kertas ke lantai.
“Hah ni kepala bapak kau, ni pulak kepala bapak aku. Ha pijak lah!” lebih kurang begitulah katanya. Situasi akhirnya meruncing dan pergaduhan dalam skala lebih besar pun bermula.

Pada zaman itu, barangkali permainan kepala bapak ini kelakar dan mengundang ketawa. Hari ini pun mungkin di sekolah rendah, masih lagi ada anak-anak yang main ‘bapak’. Dikutuknya nama bapa orang ini, kemudian dibalas dengan kutukan tentang bapa orang itu. Secara dasarnya, permainan kepala bapak ini amat sinonim dengan segala yang kebudak-budakan.

Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia telah mengutuk kenyataan sombong Menteri Dalam Negeri yang baru. Zahid Hamidi dengan bongkaknya menyuruh sekalian rakyat yang tidak bersetuju dengan sistem sedia ada di negara ini supaya berhijrah keluar dari Malaysia, dan pergi ke negara yang mengamalkan sistem yang mereka suka.

Secara refleks, kita pun akan pantas menjawab dengan ayat, ‘Eh ingat ini negara bapak kau punya?’ kerana makhluk yang mahu menghalau itu seolah-olah berfikir yang kita ini tidak bayar zakat atau cukai yang akhirnya membayar gajinya.

Zahid Hamidi sepatutnya sudah insaf dengan kutukan dan makian yang dihamburkan kepadanya daripada serata ceruk media sosial. Tetapi tidak. Zahid Hamidi mungkin berkepala batu atau kulitnya tebal seinci. Pengganti Hishammuddin Hussein itu tidak merasa tercela malah berani pula menjawab Anwar dengan mengatakan bahawa ‘negara ini pun bukan bapak Anwar yang punya’.

Permainan bapak-bapak pun bermula. Dari kejauhan mungkin akan ada Cina yang bertepuk tangan melihat dua Melayu ini bergaduh memetik bapa masing-masing.

Gurauan dan politik sudah semakin bertautan sehingga barangkali sampai kiamat tidak dapat dipisahkan. Politik Malaysia, secara rasminya bertukar menjadi gelanggang Raja Lawak entah berapa tahun lalu. Sebelum wujud rancangan itu di kaca televisyen. Dan kita rakyat Malaysia ada kalanya sekadar mampu geleng kepala dan ketawa melihat telatah politisi.

Saya secara konsisten selama ini mengatakan bahawa hanya komedi yang dapat menjadikan politik Malaysia sebagai sesuatu yang boleh dihadam dan masuk akal. Tanpa gelak ketawa, politik Malaysia akan menjadi perkara yang amat hambar.

Namun secara serius, hujah bapak-bapak ini harus dihentikan. Malu lah, dah tua-tua pun bergaduh macam budak sekolah.

Ya negara ini bukan bapak saya punya. Bapak kamu apatah lagi. Ya kalau ikutkan hati memang sudah lama negara ini ditinggalkan. Ambil lah negara bapak kamu ini dan simpan dalam almari. Hujan batu di negara sendiri, kalau ditahan lama-lama pun sakit juga. Lebih baik menadah hujan emas di negeri orang yang tak ada pemimpin korup sedut kekayaan rakyat, sampai ditinggalkan hanya hampas dan sisa sahaja untuk golongan yang membayar gajinya.

Tapi dikeranakan kami ini semuanya patriot belaka dan tidak sanggup melihat gerombolan kamu menjarah harta kekayaan negara sampai ke mati, maka kami kekal di sini melawan kamu untuk lima tahun lagi. Dan tahun-tahun selepas itu.

Ya. Negara ini bukan bapak kami punya. Bukan bapak kamu punya.

Negara ini milik anak cucu yang dipinjamkan untuk kita. Moga kita kembalikan kepada mereka nanti dengan politik yang lebih matang, berdemokrasi, adil dan saksama untuk semua. – Roketkini.com

dollah yankee -
Kepala bapak hang berjambul ..! Kah..Kah..Kah..

2 comments:

  1. Zahid menyuruh rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan sistem p/raya malaysia supaya meninggalkan negara sebab sebagai menteri dalam negeri mungkin dia boleh mengimpot lebih ramai lagi rakyat bangladesh, indonesia,pakistan, myanmar, kampuchea, nepal, filipina dll untuk menjadi rakyat malaysia segera...............

    ReplyDelete
  2. Masalahnya UMNO kalau kita cakap bahasa Melayu standard dia tak faham.... sebab education mereka pada tahap yang rendah.

    Bila cakap macam tu... baru dia faham... dari sini kita boleh menilai tahap IQ dan EQ menteri yang dilantik.

    Pakatan Rakyat biasalah.... cucuk orang melatah.... baru orang melatah tu cerita habis apa yang ada dalam seluar.

    ReplyDelete